fbpx

Kren jatuh : Operasi keluarkan mayat tersepit selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa yang sebelum ini tersepit di antara komponen kren dan struktur binaan telah berjaya dibawa turun dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Foto EHSAN BOMBA KL

KUALA LUMPUR – Mayat pekerja warga asing yang sebelum ini dilaporkan tersepit di antara komponen kren dan struktur binaan di projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, Cheras di sini sejak kelmarin telah berjaya dikeluarkan pada pukul 3.57 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, beliau bersama dua anggota bomba telah naik ke atas struktur tersebut pada pukul 2.57 pagi untuk membuat penilaian risiko sebelum pasukan kedua naik dan memulakan kerja mengeluarkan mayat mangsa.

“Pada pukul 3.09 pagi, tiga anggota bomba telah naik ke atas struktur dengan memakai pakaian pelindungan diri (PPE) dan memulakan kerja mengeluarkan mayat mangsa tersepit yang mengambil masa hampir 30 minit.

“Pasukan penyelamat mengambil keputusan tepat untuk mengeluarkan mayat mangsa di saat ini berikutan keadaannya yang sudah mula mereput selepas hampir dua hari tersepit di antara komponen kren dan struktur berkenaan,”katanya ketika ditemui di lokasi operasi hari ini.

Menurut Nordin, pihaknya menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa tersepit itu berikutan keadaan struktur yang tidak stabil.

“Kami terpaksa mengambil masa lebih daripada sehari untuk menstabilkan struktur berkenaan terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan anggota pasukan penyelamat sebelum kerja-kerja membawa mayat turun dapat dilakukan.

“Mayat mangsa yang telah berjaya dibawa turun seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi menyelamat oleh pihak bomba tamat sepenuhnya,” ujar beliau.

Keadaan kereta seorang pengguna jalan raya yang musnah selepas dihempap komponen kren yang jatuh di atas jalan raya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika ditemui berkata, mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk dibedah siasat.

“Bedah siasat akan dilakukan ke atas mayat mangsa untuk mengenalpasti punca kematian dan lokasi kejadian kini diserahkan kepada pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk siasatan lanjut,” jelas beliau.

Dalam pada itu, jurucakap JKKP Kuala Lumpur mengesahkan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

“Ketika ini segala operasi telah dihentikan buat sementara waktu jadi siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti sekiranya terdapat sebarang pelanggaran perundangan dan elemen lain yang menjadi punca kejadian akan dimulakan oleh pihak kami kira-kira pukul 9 pagi hari ini,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan tentang usaha pihak pasukan penyelamat untuk menstabilkan struktur dan melakukan kerja pengalihan komponen kren yang jatuh sejak kelmarin bagi membolehkan mayat mangsa tersepit dibawa keluar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi kelmarin, sebuah komponen kren dilaporkan terjatuh lalu menghempap seorang pekerja asing warga China dan menyebabkan dua lagi pekerja asing terjatuh dari ketinggian kira-kira 40 meter.

Turut mengalami kecederaan parah adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun yang memandu sebuah kereta jenis Perodua Bezza setelah kereta dipandunya itu ditimpa komponen kren yang jatuh ke atas jalan raya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI