Oleh RAJA JAAFAR ALI
KULAI – Jabatan Agama Negeri Johor (Jainj) akan menjadi pemerhati dalam prosiding rayuan penggunaan Kalimah Allah.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad dilantik sebagai pemerhati bagi pihak JAINJ.
”Mufti Datuk Yahya Ahmad akan menjadi pencelah atas permintaan dari kerajaan persekutuan.
“Ini di bawah kuasa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakari, ” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Amal Jariah PIJ di Dewan Raya Felda Taib Andak di sini hari ini.
Menurut Tosrin, negeri Johor telah mewartakan pada 4 Jun 2009 secara jelas menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan, serta ditegah dan dilarang.
Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menzahirkan perasaan dukacita apabila timbul kembali isu penggunaan kalimah Allah untuk digunakan pada tuhan yang lain daripada maksud yang sebenar.
Isu penggunaan kalimah Allah timbul apabila Mahkamah Tinggi telah membenarkan penganut agama Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kaimah Allah dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.
Bagaimanapun, Kementrian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan pada 15 Mac. – K! ONLINE