KUALA LUMPUR – Seorang jurugambar syarikat produksi didapati bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memuat naik status jelik menghina agama Hindu dalam Facebook miliknya dua tahun.
Hakim M.M Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap dua pertuduhan yang dihadapi Zamri Abdul Razak, 54, diakhir pembelaan kes itu.
“Selepas mendengar semua keterangan daripada kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes,” kata hakim itu.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 2 April ini bagi tarikh jatuh hukum.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Zamri didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “Zamri Bin Abd Razak” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dua komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca seorang pengguna Facebook “Saravana Kumar” di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di sini, pukul 12.45 tengah hari, pada 10 Mac 2019.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum menurut Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling berhujah agar mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pemenjaraan dan denda yang berat kerana kesalahan yang dilakukan serius dan berat.
“Dengan satu hukuman yang berat dapat memberi amaran yang tegas pada mana-mana indvidu yang cuba menggugat keharmonian negara,” katanya.
Bagaimanapun peguam Mohd. Harris Al-Hajj Abdullah yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda dan bukan pemenjaraan berikutan anak guamnya perlu mendapatkan rawatan kerana penyakit jantung yang dialami selain pendapatan tertuduh terjejas akibat pandemik. – K! ONLINE