fbpx

IHP Februari 2021 catat kenaikan 0.1 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir

PUTRAJAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Februari mencatat peningkatan 0.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, kenaikan IHP itu didorong peningkatan indeks pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.6 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (1.4 peratus).

Beliau berkata, ia juga didorong peningkatan indeks minuman alkohol dan tembakau (0.7 peratus); kesihatan (0.7 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraaan isi rumah (0.3 peratus); perkhidmatan rekreasi dan Kebudayaan (0.1 peratus) dan pendidikan (0.1 peratus) yang menyumbang 50.7 peratus kepada keseluruhan wajaran.

“Daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 326 item menunjukkan peningkatan pada Februari lalu manakala 147 item mencatatkan penurunan manakala 79 item tidak berubah.

“Berdasarkan prestasi item itu, barang tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 201 item, 79 item menurun dan 16 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Mohd. Uzir berkata, IHP bagi tempoh Januari hingga Februari pula menurun 0.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, tujuh negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 0.1 peratus pada Februari lalu iaitu Terengganu (0.8 peratus), Kelantan (0.7 peratus), Selangor (0.4), Putrajaya (0.4), Kuala Lumpur (0.2 peratus), Pulau Pinang (0.2 peratus), Perak (0.2 peratus) dan Pahang (0.2 peratus).

Menurutnya, kesemua negeri kecuali Sabah dan Labuan mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Putrajaya serta Terengganu iaitu masing-masing pada 2.1 peratus diikuti oleh Kelantan (2.0 peratus), Pahang (1.6 peratus) dan Perak (1.5 peratus),” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI