TELUK INTAN – Hanya kerana pokok nangka, seorang lelaki mengamuk hingga tergamak memukul bapanya menggunakan batang cangkul dalam kejadian di Kampung Cina Sungai Durian di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 69 tahun mengalami beberapa kecederaan termasuk patah tulang siku, bengkak di pergelangan tangan kanan dan menerima jahitan di lengan dan kepala.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 12.36 tengah hari.
Katanya, siasatan awal mendapati lelaki warga emas itu dipukul anaknya yang berusia 40 tahun menggunakan batang cangkul.
“Mangsa dikatakan dipukul oleh anaknya kerana perselisihan faham mengenai jenis pokok yang ditanam mangsa di mana suspek tidak mahu bapanya itu menanam pokok nangka di tanah milik mangsa.
“Suspek yang berang telah memukul bapanya menggunakan batang cangkul sebelum mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah lari menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang lari dengan menunggang motosikal kemudiannya dijumpai seorang lelaki pada pukul 8.20 pagi yang kemudian membantu menghubungi ambulans dan menantu mangsa.
Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan kecemasan.
“Siasatan mendapati, dua beranak itu tinggal berasingan dan suspek adalah anak keempat hasil perkahwinan mangsa dengan isteri pertama dan tinggal sendirian di rumah mangsa iaitu lokasi kejadian.
“Suspek tidak bekerja dan disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah selain mempunyai beberapa rekod lampau,” katanya.
Tambah beliau, suspek melarikan diri selepas kejadian itu dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE