PETALING JAYA – Pelakon Datuk Eizlan Yusof melahirkan rasa syukur selepas dilantik sebagai Pengerusi Skim Wajib Tayang Finas menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Norman Abdul Halim berkuat kuasa pada 15 Mac 2021 sehingga 22 Mei 2022.
Eizlan, 50, ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia menerima pelantikan tersebut dengan hati terbuka dan akan menjalankan tugasnya dengan baik.
“Alhamdulillah saya terima dengan hati terbuka apabila diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan ini.
“Saya tahu jawatan yang dipikul ini satu tanggungjawab besar melibatkan banyak pihak terutama dalam kalangan pemain industri hiburan tanah air,” ujarnya.
Dalam pada itu, Eizlan berkata bahawa dia perlu lebih bersedia untuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.
“Penyandang terdahulu (Norman) telah melaksanakan tugasnya dengan begitu baik sekali menerusi hala tuju dan garis panduan sepanjang menjawat jawatan sebagai Pengerusi Skim Wajib Tayang Finas.
“Bagi saya, perancangan sedia ada sudah cukup baik dan saya tiada isu untuk meneruskan perancangan yang telah diatur oleh mantan pengerusi,” katanya.
Dalam pada itu, Eizlan juga mahu membantu penerbit filem tempatan agar mereka mendapat peluang dan ruang bekerjasama dengan pengusaha panggung wayang.
“Kerjasama ini diharapkan dapat memaksimumkan kutipan tiket filem-filem tempatan dan pada masa sama membantu mereka menyediakan konten (filem) untuk ditayangkan di panggung wayang.
“Memandangkan sekarang negara sedang dilanda pandemik Covid-19 dan pada masa sama panggung wayang telah dibuka, mereka kekurangan konten untuk ditayangkan di panggung wayang,” jelasnya.
Justeru, Eizlan melihat kerjasama tersebut adalah satu peluang baik oleh penggiat filem tempatan untuk bekerjasama dengan pengusaha panggung wayang untuk sama-sama memperkasakan lagi industri kreatif tanah air. -K! ONLINE