fbpx

Dua jam kejar bot nelayan Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua bot nelayan Vietnam yang dibawa pangkalan Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh hari ini. - Foto TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan berjaya menahan seramai 19 orang nelayan Vietnam di dalam dua buah bot ketika mereka sedang menangkap ikan di perairan negara semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, bot pertama yang dinaiki oleh seorang tekong dan tiga awak-awak itu ditahan pada pukul 10.23 pagi kira-kira 107 kilometer (km) dari kuala Tok Bali di sini.

Katanya, bagaimanapun, 14 nelayan asing lagi termasuk seorang tekong yang berada di dalam bot nelayan kedua telah melarikan bot mereka sehingga 144 km dari kawasan kuala.

“Ketika serbuan dijalankan, kedua-dua bot itu sedang menangkap ikan di perairan negara. Bagaimanapun, sebuah lagi bot bertindak agresif dengan cuba meloloskan diri, namun berjaya ditahan selepas anggota Maritim Malaysia mengejar mereka selama hampir dua jam.

“Selepas menahan semua suspek, kita menghadapi kesukaran untuk membawa pulang mereka ekoran keadaan laut yang bergelora dengan kelajuan angin yang mencecah 60 kilometer sejam,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Maritim Malaysia Kelantan di sini hari ini.

Menurut Muhd. Nur Syam Asmawie, pihaknya mengambil masa selama 22 jam untuk membawa pulang kesemua suspek ke pangkalan Maritim Malaysia di Tok Bali sini untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati, nelayan-nelayan asing itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan mereka berusia dalam lingkungan 16 hingga 60 tahun.

Ujarnya, kedua-dua buah bot itu juga tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Kita turut merampas pelbagai jenis ikan yang dianggarkan seberat 1.2 tan dan bekalan minyak diesel sebanyak 21,000 liter.

“Siasatan awal mendapati, jumlah rampasan itu melibatkan nilai RM2.5 juta termasuk dua buah bot yang digunakan oleh mereka,” katanya.

Ujarnya, kesemua suspek akan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditahan reman bagi siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI