PETALING JAYA – Pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan berlaku kemalangan membabitkan sebuah helikopter AS350 B3 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 9.25 pagi.
CAAM menerusi satu kenyataan berkata, helikopter dikendalikan oleh Leopard Aviation Sdn. Bhd. telah berlepas dari Sungai Lembing, Pahang pada pukul 8.30 pagi.
“Penerbangan persendirian ke Subang tersebut melalui Maran, Temerloh, Karak dan Batu Caves dengan seorang juruterbang dan 4 penumpang.
“Dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan sedang menerima bantuan perubatan sementara tiga lagi berada dalam keadaan stabil,” kata kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara.
“Siasatan tersebut dibawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya. – K! ONLINE.