fbpx

Arak bernilai setengah juta dalam rumah kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kotak berisi arak tidak bercukai yang dirampas dalam serbuan ke atas dua buah rumah kosong di Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, Johor, Sabtu lalu. Foto Ihsan Kastam

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membongkar taktik sindiket penyeludupan menjadikan dua buah rumah kosong sebagai transit atau stor simpanan arak tidak bercukai bernilai RM513,748 di di kawasan perumahan Bandar Dato’ Onn, di sini, Sabtu lalu.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Ahmad berkata, kegiatan sindiket itu dapat dihidu menerusi serbuan yang dijalankan masing-masing pada pukul 3 petang dan 11.45 malam.

“Semasa pemeriksaan pertama dibuat, kami menemui pelbagai jenis minuman keras berjumlah 4,828 botol dan 7,128 tin yang dianggarkan bernilai RM385,012 termasuk duti dan cukai telah disita.

“Usaha mengesan pemilik premis sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, menerusi serbuan kedua pula, pasukan sama menyerbu sebuah premis yang dikesan menggunakan taktik serta modus operandi serupa.

Menurut beliau, dalam serbuan itu pihaknya merampas 2,322 botol dan 1,176 tin minuman keras termasuk duti dan cukai disita dengan nilai berjumlah RM128,736.

“Kastam turut menyita 1,400 liter minuman keras dipercayai belum lulus kastam disembunyikan dalam ruang tamu di rumah kosong tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati rumah tersebut tidak berpenghuni dan terdapat banner yang digantung di luar rumah menyatakan rumah tersebut hendak dijual atau disewa,” ujarnya.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang-barang larangan, jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000.

“Denda itu mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya lagi.

JKDM Johor juga sedang menyiasat sama ada rampasan di kedua-dua rumah tersebut didalangi sindiket yang sama atau sebaliknya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`; the status code is `520` and content-type is `text/html; charset=UTF-8`