fbpx

29 PATI ditahan di dua restoran; anggota JIM patah jari sewaktu serbuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian PATI yang ditahan JIM dalam Ops Selera yang dijalankan di dua buah restoran di Kajang dan Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan dijalankan oleh Jabatan Imigresen (JIM) di dua restoran di sekitar kawasan Kampung Abu Bakar Baginda, Kajang dan Presint 11, di sini semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan menerusi Ops Selera itu dilakukan di restoran yang menjadi tumpuan ramai termasuk sebuah restoran terkenal di Bangi kerana disyaki menggajikan warga asing tanpa pas sah sebagai pekerja.

Menurutnya, operasi dijalankan ke atas premis tersebut berdasarkan aduan awam dan hasil risikan yang dibuat oleh JIM.

“Dalam serbuan ke atas kedua-dua premis ini, seramai 31 orang telah diperiksa dan hasilnya seramai 29 orang warga asing telah ditahan.

“Warga asing yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Myanmar, 10 lelaki dan 11 wanita warga Indonesia serta tujuh lelaki warga India.

“Selain itu, tiga lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, seorang lelaki warga asing telah bertindak di luar kawalan dan agresif dalam usaha melarikan diri.

“Bagaimanapun, tindakan pantas beberapa pegawai imigresen berjaya menahan lelaki tersebut.

“Seorang pegawai kanan tercedera dalam insiden ini dan beliau terus dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera.

“Pihak hospital mengesahkan ibu jari tangan pegawai tersebut patah dan diberi rawatan lanjut,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, kesemua tahanan tersebut telah dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk melalui ujian saringan Covid-19.

“Setelah keputusan ujian mendapati semua tahanan negatif, mereka dibawa dan di ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Justeru, siasatan dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, JIM menasihatkan semua majikan mendapatkan pas yang sah dan mematuhi syarat bagi pengambilan pekerja asing.

“Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku.

“Tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warga asing dan majikan yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Ujarnya lagi, orang ramai diminta supaya terus menyalurkan maklumat mengenai PATI supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI