GEORGE TOWN – Pasukan bomba mengambil masa selama hampir 24 jam bagi mengawal kebakaran yang berlaku di tempat longgokan sampah dan kayu berhampiran Bukit Kukus, Jalan Paya Terubong di sini hari ini.
Kebakaran berlaku sejak pukul 2 petang semalam itu membabitkan keluasan cerun bukit kira-kira 20,000 kaki persegi.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Tarmizi Md. Jaafar berkata, operasi pemadaman api dijalankan sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 2.31 petang semalam.
Menurutnya, kerja-kerja memadamkan kebakaran melibatkan seramai 25 keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Jalan Perak dan Bayan Baru.
“Operasi yang dijalankan sepanjang hari dengan bantuan pasukan bomba sukarela berhampiran itu turut berdepan kesukaran disebabkan lokasinya yang bercerun dan ketiadaan sumber air.
“Kita terpaksa menggunakan bantuan jentera berat iaitu eskavator untuk membuat lubang bagi menyemburkan air disebabkan api dari dalam tanah dan permukaan atas,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.
Beliau memberitahu, operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada pukul 2 petang tadi dan punca kebakaran berlaku masih dalam siasatan.
“Ini merupakan kejadian pertama berlaku di lokasi berkenaan dan pemantauan akan dilakukan setiap masa bagi memastikan tiada lagi kebakaran berlaku di kawasan cerun terbabit,” tambahnya. – K! ONLINE