fbpx

Trak polis terbakar, 29 banduan nyaris maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trak polis terbakar dengan penunggang motosikal maut di atas jalan raya hari ini. /FOTO MEDIA SOSIAL

KOTA BHARU – Sebuah trak polis yang membawa seramai 29 orang banduan terbakar selepas bergesel dengan sebuah motosikal dalam kejadian di Kampung Demit di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, semua banduan yang terlibat berjaya diselamatkan, namun penunggang motosikal jenis Yamaha LC135 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa, Muhammad Khalis Mifzal Mohd. Kamal, 21, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dipercayai digilis trak polis yang terbakar hampir 80 peratus.

Katanya, siasatan awal mendapati trak polis itu sedang berkonvoi dengan sebuah lagi trak yang membawa seramai 31 banduan lain dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu ke pusat kuarantin Covid-19 di Batu Jong, Kuala Krai.

“Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 sedang dalam perjalanan dari arah Kubang kerian ke Pengkalan Chepa untuk menghadiri kelas latihan memandu.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai telah merempuh sebuah kereta jenis Proton Saga dari arah sama sebelum bergesel trak polis dari arah bertentangan yang turut diiringi dua buah kereta peronda polis (MPV),” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Shafien, insiden itu menyebabkan motosikalnya terperosok ke bawah trak polis manakala mangsa pula tercampak di atas jalan raya.

Katanya, dalam keadaan kelam-kabut, polis dengan pantas menyelamat dan memindahkan semua banduan yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun ke dalam sebuah lagi trak polis.

Ujarnya, banduan yang diselamatkan ditempatkan di lokap balai Polis Kubang Kerian buat sementara waktu sebelum dihantar semula ke Kuala Krai.

“Mayat mangsa yang berasal dari Lorong Puteri Saadong, Pintu Geng di sini dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI