PETALING JAYA – SH Herbs, pengeluar produk penjagaan kesihatan berasaskan herba berjenama Suzy Honey Herbs telah bekerjasama dengan syarikat NisaBakri untuk menghasilkan makanan sihat berpantang.
Pengasas syarikat, Suzimah Hazish berkata, sejak enam tahun lalu, syarikat memfokuskan kepada keluaran produk lengkap bersalin dan berpantang dengan menggunakan herba semula jadi segar yang terdapat di Hulu Dungun, Terengganu.
Buat masa ini, syarikat memiliki 80 unit simpanan stok (SKU) yang dijual melalui 1,000 stokis dan pengedarnya di seluruh negara pada harga antara RM18 hingga RM150 seunit.
“Saya sering diajukan soalan oleh pelanggan setia untuk menghasilkan set makanan ketika mereka berpantang dan saya mula membuat perancangan serta mencari rakan kongsi untuk menjayakan projek perniagaan tersebut.
“Sehubungan itu, saya mula berbincang dengan pengasas syarikat NisaBakri, Puan Seri Nisa Bakri yang suka memasak dan menghasilkan menu makanan yang menyelerakan dan berkhasiat.
“Beliau juga begitu teliti dalam memilih herba dan bahan mentah bersesuaian untuk memasak makanan sihat bagi wanta berpantang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman kerjasama antara Suzy Honey Herbs dengan NisaBakri baru-baru ini.
Tambah Suzimah, melalui kerjasama tersebut, dua produk makanan dan minuman serta buku resipi untuk wanita berpantang bakal dilancarkan tidak lama lagi.