PETALING JAYA – Selepas tiga tahun mengacarakan program Muzik-Muzik, pengacara Sherry Alhadad dan Haziq Hussni mengumumkan pengunduran diri.
Pengumuman tersebut dimaklumkan mereka menerusi Instagram rasmi Muzik-Muzik selepas siaran langsung Muzik-Muzik ke-36 (MM36) malam semalam.
Kedua-dua mereka digantikan pengacara baharu iaitu Alif Satar dan Daiyan Trisha.
“Jutaan terima kasih kepada kedua pengacara hebat Muzik-Muzik iaitu Sherry Alhadad dan Haziq Hot FM yang telah menjayakan program Muzik-Muzik dan Anugerah Juara Lagu (AJL) selama ini dengan begitu cemerlang dan hebat sekali,” tulisnya.
Dalam pada itu, Haziq dan Sherry turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas sokongan padu yang diberikan sepanjang tiga tahun mengendalikan program tersebut.
“Sherry terima kasih untuk tiga tahun terindah. Haziq dan Sherry undurkan diri. Selamat datang Alif Satar dan Daiyan Trisha,” tulis Haziq.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata peminat dan penonton mengakui merindui keletah dan ragam kedua-dua pengacara itu sepanjang mengacarakan program tersebut.
Untuk rekod, Haziq dan Sherry mula mengacarakan program Muzik-Muzik sejak 2018 yang bersiaran menerusi TV3. – K! ONLINE