PETALING JAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Sewa Anong dan Rumah Sewa Beverly Hills, Bintulu, Sarawak ditamatkan hari ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penamatan PKPD di dua kawasan itu dibuat dua hari lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan pada Khamis ini.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan.
“Selain itu, kluster juga adalah terkawal serta kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 18 Mac 2021.
“Secara keseluruhan, KKM telah melaksanakan 1,407 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 85 kes telah direkodkan di kawasan berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di dua kawasan ini. – K! ONLINE.