fbpx

Pilih kasih tidak mustahil – Jamal Abdillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAMAL ABDILLAH

SETIAP yang bernama anak Malaysia tidak boleh dinafikan keberadaan seorang legenda muzik yang secara konsistennya memegang gelaran Raja Pop Malaysia. Beliau tidak lain dan tidak bukan, Datuk Jamal Abdillah.

Menghampiri hayat jubli emas dalam dunia seni suara, banyak sepak terajang yang telah ditempuhinya. Begitu juga dengan cemuhan yang diterima. Itulah Jamal Abdillah atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Mohd. Ali.

Baru-baru ini, Jamal dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) menerusi lagu Belenggu Rindu (duet bersama Wany Hasrita).

Sebagai ingatan bersama, kemenangan dalam acara yang disorot sebagai ‘Grammy Malaysia’ tersebut diraih Jamal pada usia 62 tahun.

Semasa persembahan, vokalnya masih merdu, karismanya di atas pentas tiada tandingan dan staminanya masih setanding, bahkan mungkin lebih baik daripada penyanyi muda lain yang turut bertanding.

BERDUET dengan Wany Hasrita menerusi lagu Belenggu Rindu, Jamal Abdillah sekali gus menjadi penyanyi paling senior yang bertanding dalam AJL35.

Relevansi

Apa formula yang diguna pakai penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Kekasih Awal dan Akhir itu? Jamal dalam satu temu bual secara maya sempena pelancaran lagu Neraca memaklumkan, beliau tidak kisah andai ada yang berpendapat dirinya ‘melukut’ di dahan populariti penyanyi muda.

Jamal tidak dinafikan yang penyanyi muda mempunyai pengaruh dan peminat yang tersendiri.

“Orang kata saya menumpang populariti penyanyi muda, biarkan sahaja mereka bercakap begitu. Memang betul pun, kalau saya tak menyanyi dengan penyanyi-penyanyi muda, jangan harap radio akan main lagu saya.

“Budaya itu tidak boleh dinafikan. Saya sudah boleh telan hakikat yang zaman saya sudah berlalu, namun itu tidak bermakna saya hanya akan berpeluk tubuh dan tidak berbuat apa-apa.

“Selagi diberikan dan dipinjamkan kudrat oleh Allah SWT. Insya-Allah saya akan gunakan bakat ini sampai bila-bila dan selagi saya mampu,” kata suami kepada Datin Zai Izzati Khiruddin itu.

Situasi semasa muzik bagaimanapun tidak menjadikan Jamal hanya akan ‘tangkap muat’ dalam soal kolaboratif dengan mana-mana artis. Jamal hanya akan bersikap terbuka dan bekerjasama jika kena gaya.

“Macam lagu Belenggu Rindu, saya perlu pastikan karya itu sesuai dengan jiwa saya. Bukan senang-senang saya bersetuju untuk berduet. Namun pada masa yang sama, saya bersifat terbuka untuk belajar perkara baharu.

“Penyanyi-penyanyi sekarang mempunyai banyak ilmu yang boleh kita pelajari. Saya pula boleh kongsikan pengalaman dan ilmu yang mungkin tiada dalam diri atau kamus hidup mereka.

“Insya-Allah, kita sama-sama belajar untuk terus memajukan industri muzik tanah air yang sentiasa berevolusi dan berkembang maju,” luahnya.

JAMAL menyarankan pihak penganjur berbalik kepada ‘fitrah’ atau niat utama penganjuran sesebuah pertandingan.

‘Terkucil’ perkara biasa

Cakna tentang isu nyanyian ‘terkucil’ Nabila Razali dalam AJL35, Jamal bersikap positif dan sempat menitipkan pesanan buat penyanyi muda itu.

Katanya, semua penyanyi cenderung untuk melakukan kesilapan terutama apabila berada di pentas besar seperti AJL.

“Melakukan kesilapan ketika menyanyi ialah perkara biasa. Memang tak boleh elak. Rasa gementar memang akan ada. Sebagai penyanyi, kita perlu pandai mengawalnya.

“Teruskan berusaha untuk pertandingan-pertandingan akan datang. Saya sendiri pun pernah tergelincir ketika menyanyi. Itu memang perkara normal,” akuinya.

Bapa kepada empat cahaya mata itu turut tidak menafikan kuasa penjurian. Katanya, kebarangkalian wujudnya unsur pilih kasih dalam mana-mana pertandingan tidak mustahil.

“Dalam mana-mana pertandingan, akan ada unsur ‘favouritism’. Bayangkan ada 10 juri profesional, semuanya ada lagu kegemaran masing-masing. Ada yang suka balada, ada yang suka irama asli dan sebagainya.

Tak boleh salahkan hanya seorang juri kalau keputusan tidak menepati selera.

“Ada lagu yang layak mungkin dibantu faktor komersial dan populariti. Tetapi saya percaya, semua yang bertanding dalam AJL35 layak berada di pentas tersebut dan juri telah melakukan tugas dengan baik,” kata Jamal.

JAMAL tidak menafikan wujud unsur pilh kasih dalam mana-mana pertandingan.

‘Balik kepada niat asal’

Ahad lalu, lagu Gila dendangan Kaka Azraff, Loca B dan Noki diumumkan sebagai juara AJL35 yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Lagu Semalam nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Aina Abdul pula menduduki tempat kedua, sementelah Belenggu Rindu nyanyian dirinya dan Wany meraih tempat ketiga.

Jamal turut menyarankan pihak penganjur balik kepada ‘fitrah’ atau niat utama mengapa AJL diwujudkan iaitu untuk mencari lagu terbaik daripada yang terbaik.

Katanya, berbeza pada zamannya dahulu, keputusan penjurian dibuat dengan penuh teliti tanpa dipengaruhi sebarang faktor luaran termasuk populariti sesebuah karya.

“Pada masa sama, tak boleh dinafikan yang budaya pertandingan dahulu dan sekarang berbeza. Sekarang ini ada banyak faktor luaran seperti media sosial.

“Dahulu, saya berani cakap yang kalau karya itu bagus, memang karya itu bagus bukan sebab penyanyi tetapi kekuatan karya itu sendiri. Sudah tiba masanya pihak penganjur ‘muhasabah’ atas alasan apa AJL diwujudkan iaitu untuk mencari lagu terbaik negara.

“Apa pun, perlu utamakan kualiti lagu itu sendiri. Kalau nak hakimi persembahan atau nyanyian boleh, namun guna platform atau cara yang betul. Tetapi yang paling penting ialah kualiti lagu,” tutupnya.

SELEPAS Belenggu Rindu dengan Wamny Hasrita, Jamal Abdillah kini bergabung bersama Luca Sickta dan Kmy Kmo menerusi lagu Neraca.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI