SEREMBAN – Seorang pengarah syarikat alat ganti motor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi suapan berjumlah RM100,000 kepada dua pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tahun lalu.
Tertuduh, Wong Yeng Fart, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, Yeng Fart didakwa memberi suapan wang tunai RM100,000 kepada dua pegawai KPDNHEP yang bertugas di Unit Kawalan Bekalan, Seksyen Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan sebagai dorongan supaya tindakan tidak diambil ke atas semua pemilik Syarikat Viss Motor Parts Sdn. Bhd. yang melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis restoran di Seksyen 8, Seremban 2 pada 4 Februari 2020 lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, ia boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 kepada tertuduh dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM bedekatan setiap awal bulan.
Kes disebut semula 23 April depan. -K! ONLINE