GEORGE TOWN – Platform e-dagang, Penang E-Mall @ Shopee telah berjaya mencatat perolehan jualan yang menggalakkan sehingga RM583 juta dalam tempoh lapan bulan selepas dilancarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Tony Yeoh berkata, Penang E-Mall yang dilancarkan sejak Jun tahun lalu yang bertujuan untuk menambah pendapatan peniaga ekoran pandemik Covid-19 telah membantu lebih daripada 15,000 peniaga di negeri ini.
“Daripada jumlah tersebut, lebih daripada 10,000 usahawan terdiri daripada peniaga e-dagang baharu dan lebih dari 700 peniaga menjual produk-produk halal.
“Program ini ternyata membantu peniaga meneroka pasaran digital melalui pendekatan baharu dan memasarkan produk mereka dengan lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Kempen Penang SME Go Digital di sini semalam.
Turut hadir, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Sementa), Kam Lian Hooi.
Selain itu, Yeoh menjelaskan, sebuah lagi program yang dibangunkan iaitu Kempen Digital Go Penang telah dirancang untuk membantu peniaga-peniaga daripada segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan produk mereka secara digital.
“Kempen ini dijangka bermula akhir bulan ini. Kami mengunjurkan lebih daripada 1,000 peniaga menyertai kempen tersebut dan PKS yang menyertai kempen itu akan diberikan geran sebanyak RM1,000 untuk membantu mereka memulakan perniagaan masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk menyokong PKS melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1.
“Pulau Pinang harus kekal sebagai pusat ekonomi Malaysia dan menjadi contoh kepada negeri lain mengenai kejayaan yang dicapai selama ini.
“Pandemik telah menjadikan proses perniagaan semakin mencabar, tetapi tidak mustahil untuk peniaga beroleh kejayaan melalui platform digital,” ujar beliau.