KOTA BHARU – Penduduk kampung di sekitar Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini tidak melepaskan peluang untuk menangkap udang geragau sambil bersantai di pantai tersebut ketika musim panas.
Selain menjadi tumpuan pengunjung untuk beriadah, PCB juga merupakan kawasan menangkap udang geragau atau lebih dikenali sebagai udang baring dalam kalangan masyarakat setempat yang banyak ditemui di situ pada Februari dan Mac.
Tinjauan Kosmo! mendapati penduduk menangkap udang geragau dengan menggunakan jaring halus atau tudung saji untuk mengaut udang itu secara beramai-ramai.
Seorang penduduk kampung, Mohd. Iman Rosli, 26, berkata, dia bersama saudaranya dan ahli keluarga pergi ke pantai itu untuk menangkap geragau bermula pukul 2 petang.
“Saya turun ke pesisiran pantai bersama 10 orang saudara yang merupakan nelayan. Kebiasaannya, kami akan menggunakan jaring bersaiz besar untuk menangkap udang geragau.
“Dalam tempoh dua jam, dianggarkan sebanyak 200 kilogram udang geragau berjaya ditangkap. Hasil tangkapan itu akan dijual kepada penduduk kampung pada harga RM5 sekilogram,” katanya baru-baru ini.
Katanya, bagi mengetahui lokasi udang, dia akan merasa bahagian kaki seperti akan dicubit halus ketika turun ke pesisir pantau selain melihat air laut yang kelihatan berwarna kemerah-merahan.
Dia yang baru menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sains Sukan, Universiti Pendidikan Sultan Idris amat teruja apabila dapat membawa pulang banyak tangkapan berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Sementara itu, seorang nelayan dari Pantai Kundur, Ghazali Mamat, 58, berkata, udang geragau kebiasaannya ditemui secara bermusim iaitu sekali hingga empat kali dalam tempoh setahun.
Katanya, dia akan berjalan kaki dari rumah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari PCB untuk melihat penduduk setempat menangkap udang geragau.
“Saya lihat banyak hasil tangkapan diperoleh penduduk di situ sebelum dijual kepada pembeli sekitar.
“Sememangnya, setiap kali musim menangkap udang geragau, kawasan PCB pasti akan meriah,” katanya. -K! ONLINE