fbpx

Nelayan Indonesia ceroboh laut diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima nelayan Indonesia ditahan ketika menangkap ikan di perairan negeri ini semalam.

GEORGE TOWN – Hasrat sekumpulan lima nelayan warga Indonesia mencari hasil ikan secara haram di perairan negara ini terkubur selepas ditahan Maritim Malaysia pada kedudukan 32.3 batu nautika barat Pulau Kendi di sini semalam.

Lelaki berusia 18 hingga 45 tahun itu diberkas anggota KM BURAU semasa melakukan rondaan Op Pertiwi/Op Benteng/ Op Tanjung kira-kira pukul 5 petang.

Kru warga asing termasuk seorang tekong tersebut sebelum itu dikatakan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di atas bot dan mereka memberi kerjasama ketika pemeriksaan dilakukan.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Abd Razak Mohamed berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga Indonesia terbabit gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua nelayan asing itu ditahan kerana menceroboh perairan negara dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM6 juta manakala kru pula didenda RM500,000 setiap seorang dengan penjara maksimum setahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, bot bersama warga asing tersebut kemudiannya dibawa ke Jeti Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang bagi tindakan lanjut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI