PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) akan akan terus memantau hutang negara bagi memastikan ia terkawal sekali gus mengekalkan keyakinan pelabur dan agensi antarabangsa.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tanpa keyakinan pelabur, rakyat akan terkesan dengan pelbagai kesan negatif seperti kurangnya peluang pekerjaan dan perniagaan.
Namun, katanya, apabila negara berada dalam krisis ekonomi, maka keperluan perbelanjaan untuk rakyat akan lebih besar menyebabkan paras hutang juga meningkat.
“Dalam keadaan ekonomi biasa, kerajaan perlu menyeimbangkan di antara perbelanjaan untuk rakyat dan kadar hutang negara. ⠀
⠀
“Ekoran itu, kerajaan telah meletakkan kepentingan untuk membantu rakyat sebagai keutamaan, termasuk menyuntik sejumlah RM340 bilion ke dalam ekonomi melalui beberapa siri pakej stimulus.
“Ini akan menaikkan hutang tanpa melepasi had statutori seperti yang telah ditetapkan undang-undang,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook hari ini.
Tengku Zafrul berkata, buat masa ini, hutang kerajaan masih di bawah had statutori mengikut undang-undang tidak seperti didakwa oleh beberapa pihak dengan menjelaskan bahawa hutang terbahagi dua iaitu hutang baik dan hutang buruk.
Menurutnya, hutang yang baik adalah seperti pinjaman yang diambil bagi menampung kos inisiatif bagi membantu rakyat dan menyelamatkan pekerjaan dan pinjaman bagi membangunkan infrastruktur untuk rakyat. -K! ONLINE