ZAMAN dahulu, mereka yang diterima masuk universiti mempunyai masa depan yang cerah. Riuh sekampung apabila ada anak-anak jiran yang berjaya menjejak kaki ke menara gading.
Ramai yang sanggup membantu menghulurkan wang jika mereka tidak mampu menyambung pengajian. Ibu bapa adalah insan paling gembira apabila anak mereka bergelar mahasiswa.
Riak wajah mereka bertambah bangga melihat anak-anak memakai jubah pada majlis konvokesyen. Graduan-graduan juga meraikan kejayaan dengan posing sakan.
Ketika itu, ramai beranggapan masuk universiti mampu mengubah nasib keluarga daripada miskin kepada hidup senang. Keluar universiti boleh dapat kerja bagus dan gaji lumayan.
Bagaimanapun, memasuki era tahun 2000, senario itu sudah berubah. Pelajar yang berjaya memasuki universiti dipersoalkan sama ada mereka mampu mendapatkan pekerjaan.
Berdesing telinga apabila ada orang kata, buat pinjaman pendidikan berpuluh-puluh ribu ringgit dan belajar bertahun-tahun, tetapi akhirnya macam orang tidak sambung belajar, malah terpaksa menanggung hutang.
Lekeh lagi apabila bidang yang dipelajari di universiti susah untuk mendapat kerja zaman ini. Jadi penganggur sehingga mendapat kerja sesuai atau bekerja dengan gaji seperti kerani, itu antara pilihan graduan.
Bagi mereka yang bujang, asalkan lepas bayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), mampu bayar ansuran kenderaan, duit sewa rumah dan hulur wang kepada ibu bapa, jadilah.
Namun bagi yang sudah berkahwin, pandai-pandailah mengikat perut dan merancang keluarga.
Tidak hairanlah ramai yang memiliki ijazah, tetapi memohon jawatan dalam perkhidmatan awam menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia dengan harapan dapat menjadi orang kerajaan walaupun gred gaji rendah.
Pabila Covid-19 melanda negara, peluang pekerjaan semakin kritikal, malah mereka yang sudah bekerja jadi penganggur.
Statistik Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial sepanjang tempoh Januari hingga November tahun lalu merekodkan seramai 99,969 orang telah kehilangan pekerjaan antaranya disebabkan majikan terpaksa gulung tikar.
Majikan yang masih bertahan pula hanya mampu memberi upah yang rendah kepada graduan bagi membolehkan perniagaan mereka tidak ‘lingkup’.
Berdasarkan laporan Kementerian Pengajian Tinggi, seramai 41,161 graduan pada tahun 2019 belum mendapat kerja dan dengan unjuran 75,000 lagi graduan pada tahun lalu, dianggarkan 116,161 graduan masih menganggur.
Yang kuat menahan cabaran hidup ketika ini akan memilih untuk membuka perniagaan sendiri, jauh daripada bidang yang dipelajari di universiti. Tidak lagi boleh berharap semuanya akan menjadi mudah dan senang. Kena rajin dan kuat berusaha.
Bagi mereka yang sudah berjaya dalam hidup, janganlah memperlekehkan usaha graduan mencari rezeki halal dengan pelbagai cara walaupun tidak setaraf kelayakan mereka. Mengata jangan sampai menghina. -K! ONLINE