DENVER, COLORADO – Sekurang-kurangnya enam terbunuh dalam satu insiden petang semalam apabila seorang seorang lelaki melepaskan tembakan rambang di dalam sebuah kedai runcit di Colorado, lapor akhbar Mail Online, hari ini.
Menerusi paparan rakaman video sistem televisyen litar tertutup, kelihatan beberapa mangsa yang maut dan cedera terbaring di dalam dan di luar pasar raya.
Menurut laporan Wall Street Journal, mangsa yang maut termasuk seorang anggota polis, ditembak tepat di kepala sebelum pukul 3 petang waktu tempatan di kedai runcit King Soopers yang terletak di 3600 Table Mesa Drive.
Setakat ini, motif kejadian belum dapat dipastikan oleh pihak berkuasa.
Ketika kejadian itu berlaku, petugas dari Jabatan Polis Boulder memberi amaran kepada penduduk tempatan untuk menghindari kawasan itu.
Tidak lama kemudian, dua anggota polis dilihat mengawal seorang lelaki yang tidak berbaju dan berlumuran darah hingga ke kakinya keluar dari kedai runcit dalam keadaan bergari.
Bagaimanapun, belum ada maklumat lanjut sama ada lelaki berkenaan adalah suspek kejadian tembakan tersebut.
Gabenor Colorado, Jared Polis mengeluarkan kenyataan rasmi meluahkan rasa kesal atas insiden yang berlaku.
‘Hati saya hancur mendengar berita peristiwa hitam yang berlaku dalam komuniti Boulder.
“Kami menyediakan setiap sumber keselamatan awam untuk membantu Jabatan Syerif Daerah Boulder menyiasat punca tembakan rambang ini berlaku. Saya sangat berterima kasih kepada semua anggota polis yang berani bertindak balas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa tragedi yang tidak masuk akal ini,”katanya.
Datuk Bandar Boulder, Sam Weaver mengatakan bahawa tiada kata-kata yang boleh menggambarkan tragedi yang berlaku pada petang itu.
“Saya berterima kasih kepada semua anggota polis yang pantas bertindak dalam usaha untuk melindungi bandar ini,”ujarnya.
Setiausaha akhbar White House, Jen Psaki memberitahu bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah diberitahu mengenai insiden ngeri itu dan beliau akan sentiasa diberi perkembangan terkini berkenaan siasatan kejadian tersebut. – Agensi