fbpx

Fiena teringin masuk Muzik-Muzik 36

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIENA

KEKURANGAN fizikal seseorang adakalanya digantikan dengan kelebihan dari segi bakat yang mungkin setanding bahkan lebih baik daripada individu normal lain.

Itu anugerah Ilahi buat insan istimewa bernama Fiena, 22, atau nama sebenarnya Nur Zafiena Anissa Zaini.

Kemunculannya dalam program Mentor Milenia 2017 bukan saja menyentuh hati penonton tetapi membuka mata ramai pihak tentang bakat luar biasa miliknya.

Mempersembahkan lagu ciptaan sendiri, Tuhan Jaga Dia Untukku, Fiena berjaya mencipta populariti, sekali gus dilamar syarikat rakaman Nova Music untuk menguruskan kerjaya seninya.

Lagu tersebut dirakam dan menjadi single sulung daripada Fiena pada 2017.

Tidak hanya berjaya menembusi hampir semua carta stesen-stesen radio utama negara, video muzik rasmi lagu tersebut juga berjaya mencapai tontonan lebih daripada empat juta dalam YouTube! Satu kejayaan yang cukup membanggakan bagi penyanyi dan penulis lagu baharu itu.

Empat tahun terus mencari identiti karyanya, Fiena kini kembali dengan sebuah lagi karya ciptaannya sendiri, Folio Cinta yang sekali gus menjadi penamat jalan cerita lagu terdahulu.

LAGU Folio Cinta menjadi kesinambungan sekali gus penamat cerita dalam single terdahulu, nyanyian, Tuhan Jaga Dia Untukku.

Folio Cinta

Berkongsi mengenai lagu Folio Cinta, Fiena yang juga orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan berkata, single berkenaan merupakan hasil tugasan bagi projek aplikasi orang buta seluruh dunia iaitu TeamTalk.

“Lagu Folio Cinta dihasilkan dua tahun lalu. Lagu itu merupakan tugasan yang diberikan dalam aplikasi TeamTalk. Aplikasi ini membabitkan orang buta di seluruh dunia.

“Bagi melihat sejauh mana perkembangan kami dalam aplikasi ini, jadi setiap orang diberikan tugasan. Saya memilih untuk menghasilkan lagu. Ketika sedang bersantai dalam bilik, idea datang dan saya terus buat lagu dan lirik.

“Biarpun diberi tempoh seminggu untuk menyiapkan tugasan ini, tetapi saya dapat hasilkan dalam masa sehari sahaja,” katanya.

Fiena berkata, dia juga tidak menjangka apabila lagu Folio Cinta menjadi pilihan pihak Nova Music untuk diterbitkan sebagai single terbaharu.

“Kebetulan pihak Nova Music minta lagu baharu. Jadi, saya pun beri dua lagu. Mereka memilih lagu Folio Cinta. Lagu ini seperti kesinambungan lagu pertama saya dahulu.

“Lagu ini sudah siap sepenuhnya pada penghujung 2019

“Sudah pasti saya berharap lagu ini akan diterima baik pendengar dan peminat seperti single terdahulu,” katanya.

Fiena yang mempunyai bakat menyanyi sejak berusia dua tahun berkata, lirik lagu Folio Cinta tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak.

“Lagu Folio Cinta ini bersifat keseluruhan. Walaupun mengisahkan pasangan kekasih yang curang dan kemudian ingin kembali berbaik, lagu ini tiada kaitan dengan mana-mana individu.

“Ini idea saya sendiri. Saya hanya buat berdasarkan apa yang terlintas di fikiran,” katanya.

Muzik-Muzik 36

Bercerita lanjut, Fiena yang turut mahir bermain alat muzik keyboard berkata, dia berharap lagu baharunya mampu pergi jauh seperti tercalon dalam Muzik Muzik 36.

“Sama macam penyanyi lain, saya juga berharap lagu Folio Cinta boleh pergi jauh. Kalau pihak Nova Music mahu mencalonkan lagu ini, saya sentiasa bersedia. Saya juga tidak sabar mahu mendengar maklum balas daripada peminat,” katanya.

Single kedua Fiena, Folio Cinta terbitan Nova Music telah berlegar di semua pelantar striming muzik digital sejak 12 Mac lalu.

Video lirik lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama,

Menariknya, lagu Folio Cinta terpilih sebagai lagu runut bunyi drama rantaian Aku Bukan Malaikat terbitan Zamriez Golden Pictures siaran RTM tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI