PETALING JAYA – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan empat tindakan awal akan dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna dan orang awam terjamin semasa melalui kawasan pembinaan projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
LLM dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diputuskan selepas Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof mengadakan mesyuarat bersama beberapa agensi berkaitan hari ini.
Menurut LLM, antara perkara yang diputuskan pada mesyurat tersebut adalah pihak kontraktor telah diarahkan untuk memberhentikan kerja di tapak kecuali kerja-kerja menyelamat termasuk kerja penstabilan struktur.
“Selain itu, pihak berkaitan juga perlu menyediakan akses sementara untuk penghuni Kondominium Puncak Banyan serta memaklumkan kepada pengguna lebuh raya berhubung pelan akses sementara di semua medium komunikasi.
“Pihak SUKE juga telah diminta untuk memeriksa semua ‘launching gantry’ dan rasuk yang telah dilancarkan di tapak pembinaan,” kata LLM dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah LLM, pihak SUKE telah mendapat kelulusan penutupan penuh jalan sedia ada di Taman Leng Seng (Zon 2) dan Jalan Alam Damai (Zon 3).
Manakala, di Persiaran Alam Damai (Zon 1), pihak SUKE perlu memastikan terdapat laluan alternatif terlebih dahulu sekiranya cadangan untuk menutup Persiaran Alam Damai ini dilaksanakan.
Pada masa sama, LLM memaklumkan, pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedang menjalankan siasatan ke atas punca insiden dan akan mengemukakan laporan kepada pihak kerajaan. -K! ONLINE.