PETALING JAYA – Bank Islam Malaysia Bhd. melalui anak syarikat milik penuhnya, BIMB Investment Management Bhd. (BIMB Investment) menyasarkan pertumbuhan aset di bawah pengurusannya (AUM) kepada RM2.5 bilion menjelang hujung tahun 2021.
AUM bagi Kumpulan ketika ini adalah berjumlah RM1.7 bilion.
Pengerusinya, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, pertumbuhan tersebut antara lain bakal disokong oleh pelancaran dana terbaharunya, Dana BIMB-ARABESQUE Global Shariah Sustainable Equity (BGSEF), yang disasarkan mampu menarik pelaburan berjumlah RM100 juta dalam tempoh 24 bulan.
Jelas beliau, dana feeder ekuiti syariah global berasaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) itu bertujuan mencapai peningkatan modal dalam tempoh jangka sederhana sehingga jangka panjang.
Ia juga memenuhi syarat dana pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) di bawah Garis Panduan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Krisis Covid-19 memperlihatkan syarikat dengan kelayakan ESG tinggi telah menunjukkan prestasi yang lebih baik tahun ini.
“ESG dan pelaburan patuh shariah merupakan falsafah teras kami. Melihat kepada situasi global pada masa sekarang, kami berpendapat pandemik Covid-19 akan meninggalkan kesan ketara kepada pasaran modal untuk tahun-tahun mendatang, membuatkan pelaburan ESG semakin relevan buat pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran yang diadakan secara maya semalam.
BGSEF ditawarkan dalam lima kelas mata wang iaitu ringgit; Hedged ringgit; dolar Amerika Syarikat (AS); dolar Australia dan dolar Singapura dengan nilai pelaburan awal berjumlah RM500, HEDGED RM500, AS$500, AU$500 atau S$500.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd. Lutfi berkata, antara keunikan BGSEF ialah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan petunjuk hadapan dalam melengkapkan pemilihan saham, meningkatkan prestasi dengan membolehkan data alternatif seperti cuaca serta berita diambil kira dalam proses pelaburan.
“Dana ini juga mempunyai langkah pengurusan risiko yang ketat untuk melindungi pelabur dan membantu mencapai matlamat kewangan jangka panjang mereka dengan pelaburan yang dipelbagaikan sepenuhnya di seluruh sektor dan wilayah,” katanya.