fbpx

Sulur Herba teruskan rawatan tradisional nenek moyang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Atas dasar sayang ter­hadap rawatan tradisional wa­risan nenek moyang serta tidak mahu perkhidmatan tersebut lenyap ditelan zaman, Pengarah Pembangunan Perniagaan Sulur Herba Resources (Sulur Herba), Noor Baini Masri sanggup berdepan pelbagai cabaran untuk membangunkan empayar perniagaannya sejak tahun 2015.

Penguat semangat beliau dalam perniagaan tersebut adalah ibunya sendiri, Sharifah Umi Kelesom Syed Mohd. Zin, 82, yang kini masih gagah menawarkan tunjuk ajar sebagai pengurut berdaftar.

Anugerah yang diterima oleh ibunya pada tahun 2017 iaitu Tokoh Srikandi Ibu Perbidanan oleh Persatuan Pengamal Urut Terapeutik & Penjagaan Melayu Malaysia itu telah memberi inspirasi dan sekali gus me­ningkatkan keyakinan Noor Baini untuk mengukuhkan jenama syarikat bersaing di pasaran semasa.

“Melalui urutan dan penja­gaan yang betul dalam pantang serta pengambilan minuman herba yang bersesuaian, wanita akan kekal cergas, sihat berpanjangan dan langsing bentuk badannya selepas bersalin,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mahu berkongsi pengalaman lalu dengan mengikut amalan ibunya ketika berpantang, Noor Baini, 57, telah berjaya memformulasikan minuman herba yang dihasilkan secara turun-temurun itu untuk dikomersialkan kepada pelanggan.

Ia bertujuan untuk membantu kaum wanita meningkatkan tahap kesihatan masing-masing khususnya kini masyarakat berdepan dengan krisis kesihatan yang serius.

Selain resipi pembuatan yang berkualiti, Noor Baini akan turut memastikan produk yang dihasilkan mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk memiliki pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

“Sebagai contoh produk minuman Teh Pracampur, telah menjalani pelbagai proses termasuk kajian dan pembangunan selama setahun sebelum dilancar di pasaran.

“Produk minuman Teh Pomegranate & Lemongrass (delima dan serai) pula adalah resipi turun-temurun daripada nenek dan ia kini dimodenkan kepada bentuk serbuk teh pracampur.

“Minuman tersebut tidak hanya dikhususkan untuk wa­nita berpantang tetapi juga buat wanita yang mahu menjaga kesihatan,” jelasnya.

Ibu kepada tiga anak itu juga turut mengambil langkah berani dengan melancarkan minuman Pomegranate & Lemongrass serta Ginger plus+ (teh hitam, kunyit hitam dan halia hitam) yang dijual pada harga RM35 dan RM45 sekotak.

Katanya, kedua-dua produk minuman kesihatan de­ngan pelbagai khasiat tersendiri itu mula dipasarkan pada Januari tahun ini di saat rakyat Malaysia terkesan dengan situasi pandemik Covid-19.

“Sewaktu negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas, saya tetap meneruskan apa yang telah dirancang sebelum ini dan produk saya siap sepenuhnya serta memperoleh GMP pada Disember 2020.

“Saya menjadikan PKP sebagai peluang untuk memperkenalkan minuman kesihatan ini di pasaran kerana melihat produk berkenaan sentiasa mendapat permintaan yang baik daripada orang ramai,” katanya.

Noor Baini menerangkan, hasilnya produk minuman Teh Pracampur Pomegranate & Le­mongrass telah disediakan di spa kecantikan sebagai minuman kepada pelanggan.

“Pengusaha spa kecantikan lain juga telah menempah produk minuman ini dan ia bukan sahaja popular dalam kalangan pelanggan di Semenanjung Malaysia tetapi juga berjaya dijual hingga ke Sabah,” katanya.

Noor Baini menjelaskan, dua produk berkenaan mempu­nyai khasiat berlainan yang mana minuman Teh Pracampur Pomegra­nate & Lemongrass yang mempunyai antioksida tinggi menjadi sumber nutrisi baik untuk badan, membantu mencantikkan kulit selain memberi ke­segaran dan ketenangan.

“Bagi produk minuman Teh Pracampur Ginger Plus+ pula, antara khasiatnya adalah untuk membantu melancarkan sistem peredaran darah dan membantu meningkatkan tenaga stamina badan,” katanya.

Tidak hanya tertumpu kepada produk minuman kesihatan, Noor Baini turut mempelbagaikan lagi produk keluaran syarikat, malah beliau juga membuka perkhidmatan home Beauty Spa & Postnatal di kediamannya di Bandar Baru Bangi.

“Spa dan urutan ini tidak ha­nya mendapat permintaan pe­langgan wanita berpantang selepas bersalin, malah tidak kira usia yang mahu memanjakan diri di sini,” katanya.

Ujarnya, selain produk minuman kesihatan, syarikat turut menghasilkan produk lain untuk wanita berpantang seperti mi­nyak urut, param dan pilis.

Produk lain adalah barangan kosmetik seperti gincu, sabun dan balm daripada minyak eks­trak Oud serta minyak wangi.

Selain itu, Noor Baini berharap bidang baharu yang diceburinya itu dapat dikekalkan hingga ke generasi akan datang.

“Untuk membangunkan se­suatu perniagaan itu bukan perkara mudah, malah saya sendiri perlu belajar memasarkan produk melalui media sosial Facebook dan Instagram selain platform e-dagang Shopee.

“Justeru, saya bersyukur de­ngan sokongan keluarga dalam memajukan perniagaan ini terutama anak saya yang turut membantu mempromosikan produk secara online,” jelasnya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan produk minuman kesihatan keluaran Sulur Herba, boleh membuat tempahan di platform e-dagang Shopee melalui carian Sulur Herba HQ.

Bagi mereka yang mahu mendapatkan khidmat spa dan urutan, boleh menghubungi di talian 019-282 3211 atau 011-3019 2711 untuk membuat temu janji terlebih dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI