AL-MUKALLA, Yemen – Seorang pemimpin kanan militia Syiah Houthi yang disokong Iran dilaporkan maut dalam serangan udara tentera pakatan Arab Saudi di wilayah Marib, tengah Yemen minggu lalu, lapor akhbar Arab News semalam.
Pemimpin tersebut yang juga menteri Kabinet Houthi, Mejar Jeneral Zakaria Yahiya Al-Shami, terbunuh ketika memimpin serangan di Marib Rabu lalu, kata seorang pegawai tentera pakatan Riyadh yang enggan identitinya didedahkan.
“Ini merupakan tamparan hebat buat puak Houthi kerana Zakaria adalah panglima sayap kanan tentera mereka.
“Beliau ialah pemimpin Houthi paling kanan ang terbunuh sejak Al-Samad, ”kata sumber yang merujuk kepada Saleh Al-Samad iaitu pemimpin kanan Houthi yang terbunuh pada 2018.
Pada 2017, tentera pakatan Arab Saudi meletakkan Zakaria di senarai teratas individu paling dikehendaki dan mengumumkan ganjaran wang tunai AS$20 juta (RM82 juta).
Dalam pada itu, media bersekutu Houthi yang meratapi kehilangan pemimpin itu menolak dakwaan bahawa Zakaria terbunuh dalam serangan tentera pakatan dan berkata, beliau meninggal dunia akibat penyakit Covid-19.
Tentera pakatan Arab Saudi memberitahu kelmarin bahawa serangan udara mereka menyasarkan kem penyelenggaraan senjata, bengkel peluru berpandu balistik dan dron militan Houthi di Sanaa.
“Operasi bersasar ini bertujuan untuk melumpuh dan menghancurkan sumber serangan yang akan datang dan untuk melindungi orang awam,” kata gabungan itu. – Agensi