fbpx

Nüwa bandar di Planet Marikh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IKLIM ekstrem Marikh merupakan antara cabaran dalam pembinaan sebuah bandar yang selamat dan lestari. -ABIBOO Studio/Facebook

HOBOKEN, New Jersey – Pelan bagi membina sebuah bandar lestari  pertama di Planet Marikh  dilancarkan oleh firma arkitek ABIBOO, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Diberi nama Nüwa, bandar utama itu merupakan salah satu daripada lima bandar Marikh  yang dirancang pembinaannya di Tempe Mensa iaitu sebuah kawasan di planet berkenaan. Bandar itu akan dibina secara menegak dan bukan mendatar bagi mengurangkan tekanan atmosfera dan radiasi berbahaya.

Memandangkan air dan karbon dioksida boleh berada di permukaan Marikh, dua elemen itu akan membantu ABIBOO mencipta besi yang dihasilkan secara eksklusif menggunakan bahan-bahan di Planet Merah itu.

ANTARA elemen paling unik dalam reka bentuk Nüwa ialah struktur binaannya yang menegak bagi mengurangkan tekanan atmosfera dan radiasi berbahaya. -ABIBOO Studio/Facebook

Bandar itu akan merangkumi semua binaan utama yang ada di Bumi seperti rumah, pejabat dan juga taman. 

Pengasas ABIBOO, Alfredo Muñoz berkata, syarikat itu melakukan analisis dan bekerjasama dengan  ramai saintis bagi memahami keadaan yang akan dihadapi. 

KAWASAN kubah hijau akan berfungsi sebagai taman rekreasi atau kawasan untuk menanam tumbuh-tumbuhan. -ABIBOO Studio/SONet

Mereka yang mengimpikan untuk menetap di Marikh bagaimanapun terpaksa memberi laluan kepada cucu atau cicit masing-masing memandangkan pembinaan Nüwa hanya akan bermula pada 2054 dan penduduk dijangka boleh berpindah menjelang tahun  2100.

Populasi bandar yang dirancang itu pula ialah seramai 250,000 penduduk.

Nama Nüwa  diambil daripada karakter mitos dewi dari China.

SECARA asasnya, kehidupan di Marikh kelak tidak banyak beza berbanding kehidupan di Bumi. -ABIBOO Studio/SONet

Sumber makanan utama bagi penduduk Nüwa datang daripada tumbuh-tumbuhan dan aktiviti rekreasi pula sama seperti yang boleh dinikmati di Bumi daripada berkhemah sehinggalah aktiviti seni dan kraf.

Transisi kehidupan dari Bumi ke planet Marikh merupakan sesuatu yang agak rumit namun ia sama sekali tidak mustahil.

Penerbangan ulang-alik dari Bumi ke Marikh akan beroperasi setiap 26 bulan dan setiap perjalanan memakan masa antara tiga hingga enam bulan.

Kos bagi tiket sehala dari Bumi ke Planet Merah itu dijangkakan sekitar AS$300,000 (RM1.2 juta) -Agensi

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI