KETUA jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan memuji mentaliti barisan pemain yang tidak terjejas dengan ‘isu luar padang’ selepas merekodkan kemenangan pertama Liga Super dengan menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) 2-1 kelmarin.
Pada aksi di Stadium Hang Jebat itu, dua gol penyerang import Brazil, Alex Goncalves menerusi sepakan penalti pada minit ke-51 dan ke-81 sudah cukup untuk memberi tiga mata berharga buat skuad Sang Kancil musim ini.
Sebagai rekod, pasukan Melaka United telah dipotong tiga mata oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Jumaat lepas susulan kegagalan membayar tunggakan gaji mengikut jadual yang ditetapkan.
Kata Zainal, karakter yang dipamerkan oleh pemain wajar dipuji apabila berjaya mendominasi saingan dengan mencipta banyak peluang selain pada masa sama mengekang asakan pasukan pelawat.
“Barisan pemain telah mempamerkan mentaliti yang cukup baik dan meskipun kami tidak melakukan jaringan menerusi permainan terbuka, namun gol penalti yang diperoleh berjaya dimanfaatkan sepenuhnya.
“Bukan mudah untuk bermain lima perlawanan dalam tempoh dua minggu tetapi barisan pemain telah memberikan yang terbaik dan saya berpuas hati dengan komitmen yang mereka berikan,” katanya.
Sementara itu, pengendali KL City, Bojan Hodak akui jadual padat menjadi salah satu punca kegagalan anak-anak buahnya tidak mempamerkan aksi konsisten pada saingan liga musim ini.
“Saya enggan mengulas keputusan pengadil yang memberikan dua penalti buat pasukan tuan rumah tetapi alasan yang wajar saya berikan adalah jadual padat kerana ini adalah perlawanan kelima kami dalam tempoh yang cukup singkat,” katanya.