KUALA LUMPUR – Selepas tempoh tiga jam, seorang lagi mangsa yang terperangkap di atas kerangka struktur setinggi kira-kira 36.5 meter masih belum berjaya dibawa keluar.
Setakat pukul 5.15 petang hari ini, mangsa yang merupakan pekerja pembinaan dan dipercayai warga China masih tersepit separuh badan di atas kerangka berkenaan.
Mangsa yang sudah meninggal dunia itu antara tiga pekerja pembinaan yang maut selepas ditimpa bebanan di atas kerangka berkenaan.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi mengganggarkan pihak berkuasa akan mengambil masa tiga jam untuk mengalihkan bebanan yang menimpa mangsa bagi membolehkannya dibawa keluar.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu, tiga pekerja pembinaan disahkan maut manakala tiga lagi terselamat selepas komponen kren tumbang dan menghempap sebuah kenderaan di projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, di sini hari ini.
Salah seorang daripada dua mangsa yang terselamat merupakan pemandu kereta Perodua Bezza yang mengalami kecederaan pada kedua-dua belah kaki. – K! ONLINE