LIVERPOOL – Pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan mahu momentum cemerlang pasukan itu tidak terhenti apabila saingan terpaksa direhatkan bagi memberi laluan aksi antarabangsa selepas menyaksikan pasukannya mara ke pentas separuh akhir Piala FA musim ini.
Gundogan berjaya menjaringkan satu gol untuk membantu skuad The Citizens menang ke atas Everton pada saingan suku akhir Piala FA dengan keputusan 2-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Goodison Park, awal pagi semalam.
Kata Gundogan, kemenangan tersebut menaikkan lagi semangat barisan pemain dalam usaha memburu empat trofi utama pada musim ini meskipun terpaksa berehat hampir dua minggu sebelum semua pemain berkumpul kembali pada April depan.
“Saya berpuas hati dengan momentum pasukan kali ini yang cukup positif dalam usaha untuk melangkah ke pentas separuh akhir Piala FA. Kini, semua pemain akan beraksi dengan negara masing-masing di pentas antarabangsa dan saya harap fokus pasukan tidak terjejas.
“Ini kerana kami akan menentang pasukan Leicester City pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas ini dan sudah tentu kami tidak mahu saingan dimulakan kembali dengan keputusan negatif,” kata pemain antarabangsa Jerman itu.
Sementara itu, pengurus City, Pep Guardiola percaya prestasi yang dipamerkan oleh pasukannya sepanjang empat bulan lepas cukup luar biasa apabila hanya merekodkan satu kekalahan dalam 33 perlawanan dalam semua kejohanan.
“Saya tidak mahu barisan pemain berpuas hati dengan prestasi semasa meskipun mereka berjaya mempamerkan aksi konsisten sepanjang empat bulan lepas.
“Cuma, kami masih belum memenangi sebarang kejuaraan dan perlu kekal fokus apabila saingan kembali bersambung nanti,” katanya. – AGENSI