fbpx

Malaysia tunggu ‘lampu hijau’ negara luar terima pelancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy (tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 di Ayer Keroh, di sini hari ini.

MELAKA – Kerajaan kini hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada negara luar untuk menerima kemasukan pelancong dari negara ini selepas garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) gelembung perjalanan telahpun siap sepenuhnya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, setakat ini kerajaan sedang mendapatkan respon tersebut daripada enam negara terlibat iaitu Singapura, Jepun, Vietnam, Brunei, China dan Korea.

“Selepas diarahkan kerajaan pada tahun lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini telah bersedia dengan garis panduan dan SOP bagi gelembung perjalanan ke negara luar.

“Bagaimanapun, kita masih perlu menunggu jawapan atau kebenaran daripada negara luar yang terlibat untuk kemasukan pelancong dari negara ini ke sana,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Ujarnya, garis panduan dan SOP itu telah disiapkan menerusi perbincangan dengan kementerian lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar.

“Gelembung perjalanan itu bagaimanapun tertakluk kepada keadaan semasa pandemik dan perbincangan bersama pelbagai Kementerian lain serta penilaian oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada ia boleh diteruskan atau tidak.

“Antara SOP yang ditetapkan adalah perjalanan secara kumpulan kecil, hanya melibatkan agensi pelancongan yang telah berdaftar dan individu perlu membuat ujian calitan Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut gelembung perjalanan domestik, beliau memberitahu kini pihaknya sedang mengenal pasti destinasi eko perlancongan yang boleh diketengahkan untuk menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara.

“Pada waktu pandemik ini, kita melihat eko pelancongan menjadi satu teras penting dan kita sedang mengenal pasti destinasi-destinasi yang masih belum diterokai sepenuhnya oleh orang ramai.

“Kita rasakan ini adalah peluang yang baik untuk memperbaiki infrastruktur supaya orang ramai dapat sampai ke lokasi eko pelancongan ini dengan mudah, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong luar,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI