fbpx

Kren jatuh: Individu cedera dan maut dikenalpasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur mengesahkan telah mengenalpasti identiti tiga warga China yang maut dalam kejadian komponen kren jatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE), Jalan Alam Damai, Cheras di sini pagi tadi.

Pengarahnya, Nordin Pauzi berkata, mereka yang maut dikenalpasti sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.

“Mayat Kunfu dan Jinboa telah dikeluarkan dari lokasi kejadian pada pukul 11.30 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kerja-kerja mengeluarkan mayat Tong Zheng yang tersepit dihempap komponen kren sedang giat dilakukan sehingga kini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Nordin, seorang warga tempatan yang terlibat dalam kejadian tersebut pula dikenali sebagai Low Zy Jing berusia 33 tahun.

“Zy Jing merupakan pemandu kereta yang mengalami kecederaan parah selepas dihempap oleh komponen kren yang jatuh ke atas jalan raya,” ujar beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan tentang kejadian komponen kren jatuh di Jalan Alam Damai, Cheras mengakibatkan kematian tiga lelaki warga asing dan seorang pengguna jalan raya warga tempatan cedera.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika pekerja tapak pembinaan tersebut sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan mengakibatkan dua pekerja warga asing terjatuh dari ketinggian 40 meter manakala seorang lagi maut selepas dihempap komponen kren.

Komponen kren yang jatuh ke atas jalan raya pula telah menghempap seorang pemandu kereta dan mengakibatkan kecederaan parah namun mangsa telah dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz untuk mendapatkan rawatan.

Turut terlibat dalam kejadian pukul 8.40 pagi itu adalah dua lagi pekerja tapak pembinaan warga asing yang berjaya diselamatkan dan dibawa turun oleh anggota bomba.- K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI