JAKARTA – Penyanyi dan pelakon Indonesia, Irwansyah menafikan berita bahawa dia sudah meninggal dunia seperti yang tular di laman YouTube, semalam.
Menerusi paparan Insta Story, Irwansyah meluahkan rasa kesal dengan penyebaran berita palsu yang turut menggunakan rakaman isterinya, Zaskia Sungkar sedang menangis di sebuah hospital di Jakarta.
Terdapat juga paparan yang menunjukkan seperti Irwansyah sedang dirawat di hospital di dalam video berkenaan.
“Ini berita palsu, semakin lama semakin mengarut dunia media sosial ini,” tulis Irwansyah.
Rakaman video yang dimuat naik di laman YouTube itu berdurasi 2 minit 46 saat dengan tajuk ‘Berita Duka, Irwansyah meninggal dunia. Zaski buka mulut.’
Rupa-rupanya, Irwansyah yang dilaporkan meninggal dunia itu adalah seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang maut akibat terkena renjatan elektrik di Desa Bojong, Jawa Barat, baru-baru ini. – Agensi