Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Faiz Hashim dan isterinya menjadi mangsa terbaharu penipuan dalam talian apabila gambar mereka berdua digunakan oleh pihak tertentu untuk melakukan penipuan.
Muhammad Faiz berkata, dia hanya menyedari kejadian terbabit apabila dimaklumkan rakannya selepas seorang individu menular gambarnya suami isteri dalam laman Facebook selain dituduh sebagai penipu.
“Individu berkenaan menuduh saya menipu selepas membeli alat ganti kereta melalui Facebook dan memuat naik gambar kami berdua sehingga ia tular.
“Saya kesal dengan tindakan individu berkenaan yang tidak membuat usul periksa terlebih dahulu dan tindakannya telah mencemarkan imej saya,”katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan Sabtu lalu, sebaik mengetahui perkara itu kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga selain mahu membersihkan namanya.
Katanya, mereka yang menjadi mangsa penipuan sepatutnya terus membuat laporan polis dan biar pihak berkuasa yang membuat siasatan bukannya mengambil langkah terburu- buru sehingga memberi kesan buruk kepada orang lain.- K! ONLINE