SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ apabila gagal hadir untuk pertuduhan kes di sini, hari ini.
Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh.
Terdahulu, peguam bela, T. Tamil Salvan yang mewakili tertuduh, Mohammed Al Faizal Mohammed, 45, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya kini berada di wad Hospital KPJ Tawakal kerana mengalami arthritis.
“Anak guam saya dimasukkan ke KPJ Tawakal semalam kerana mengalami arthritis dan akan menjalani pembedahan esok.
“Dia tidak sempat beritahu mahkamah dan hari ini baru boleh maklumkan,” katanya.
Rozilah kemudian bertanya kepada pihak pembelaan surat daripada Hospital KPJ Tawakal yang mengatakan anak guamnya tidak boleh hadir ke mahkamah.
“Saya mahu surat daripada KPJ yang mengatakan tertuduh tidak boleh hadir ke mahkamah hari ini.
“Tidak ada surat daripada hospital mengenai status dia tidak ‘fit’ untuk hadir ke mahkamah, awak dapatkan itu daripada hospital,” tegasnya.
Bagaimanapun, Fadhli pula memaklumkan bahawa pihak pendakwaan sudah berhubung dengan pihak hospital dan dimaklumkan doktor sudah memberikan surat kepada tertuduh yang membenarkannya hadir ke mahkamah.
Difahamkan, tertuduh akan berdepan dua lagi pertuduhan berhubung rasuah untuk melepaskan 22 warga China di tahanan Imigresen.- K! ONLINE