SETIU – Seorang buruh warga Myanmar maut selepas motosikal dinaikinya dirempuh sebuah lori membawa barangan runcit di Kilometer 55, Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja berhampiran Rhu 10 di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.55 pagi itu, mangsa, Muhammad Hafiz Sayadul Rahman, 27, yang menetap di Kampung Buluh di sini meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Hafiz yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z dikatakan dalam perjalanan ke Telaga Papan dari Penarik di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan tiba-tiba membelok motosikalnya ke sebelah kiri untuk memasuki persimpangan jalan.
“Lori setan membawa muatan barangan runcit yang berada di belakangnya gagal mengelak lalu merempuh motosikal dinaiki mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Afandi berkata, impak pelanggaran itu, lori yang dalam perjalanan untuk menghantar barangan runcit ke Kuala Terengganu dari Pasir Puteh, Kelantan hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh sebuah kedai makan yang tidak beroperasi di tepi jalan.
Tambah beliau, kelindan lori yang merupakan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 26 tahun pula cedera ringan di bahagian leher. – K! ONLINE