fbpx

Berprasangka bukti hati tak bersih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
AZIMI MUSTAPHA, PENGARANG BERITA KOSMO!

DALAM hidup ini, kita sememangnya perlukan sokongan dan dukungan orang lain untuk terus berjaya menggapai apa yang dihajati.

Justeru, penting untuk kita sentiasa bersangka baik dengan orang lain terutamanya rakan taulan kerana merekalah, kita berada di tahap sekarang.

Bagaimanapun, tidak banyak daripada kalangan kita bersyukur dengan keadaan ini, malah sentiasa ada sikap prejudis dalam diri bahawa orang di sekeliling sedang menunggu masa untuk menjatuhkan kita.

Sebenarnya, orang di sekeliling tidak pernah pun ada niat untuk mengambil kesempatan ke atas kita termasuk ingin menyisihkan kita ke tepi.

Itu hanya perasaan kita yang bersangka sedemikian seolah-olah semua orang ada perasaan iri hati dengan apa yang kita capai selama ini.

Buat apa nak mencari musuh kerana ia langsung tidak membawa apa-apa kebaikan kepada diri dan juga masyarakat sekeliling.

Lahirnya prasangka sedemikian kerana perasaan kita tidak tenang, mungkin ada sekelumit perasaan dalam diri perasaan cemburu dan iri hati dengan kejayaan orang lain.

Disebabkan ingin bersaing, maka fikiran mula bercelaru dan berlegar-legar dalam benak bermacam perasaan tidak puas hati dan kemungkinan orang di sekeliling ada niat serong terhadap kita.

Sepatutnya dalam hal sedemikian, hendaklah sentiasa berlapang dada dan menganggap kejayaan atau tidak semuanya adalah rezeki.

Jika tidak berjaya, mungkin ada hikmah di sebaliknya dan boleh berusaha lagi pada kesempatan lain pula.

Jika terus ikutkan perasaan, lama-kelamaan hati kita akan menjadi hitam dan menidakkan sesuatu perkara walaupun benar.

Jika ini terjadi, kita pasti akan dipulaukan oleh kawan-kawan dan menjadi kera sumbang.

Ini sudah pasti mengusutkan lagi masalah yang timbul.

Hidup ini mudah, jangan pula menyulitkan semua perkara dek kerana tidak sehaluan dengan pendapat orang lain.

Adakalanya kita perlu mengalah dalam sesetengah perkara demi kemaslahatan lebih besar yang menanti di hadapan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI