BEIJING – Bot-bot China yang berhimpun dekat sebuah terumbu tuntutan bertindih di Laut China Selatan adalah ‘bot nelayan’ yang berlindung daripada cuaca buruk, kata Kementerian Luar China hari ini, sehari selepas Filipina menyifatkan kehadiran bot-bot tersebut sebagai pencerobohan.
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan dan dituduh Amerika Syarikat menggunakan kaedah mengugut, memujuk dan menakut-nakutkan negara-negara lain dalam usaha tersebut.
Filipina menyatakan semalam bahawa lebih 200 bot militia ditemui dalam formasi garisan di Terumbu Whitsun sekitar 320 kilometer ke barat Pulau Palawan pada 7 Mac lalu.
Manila meminta China segera mengundurkan bot-bot tersebut yang dianggap mencabuli hak maritim dan kedaulatan wilayah Filipina.
Bagaimanapun, Beijing menyangkal dakwaan Manila dan sebaliknya berkata, bot-bot nelayan China sudah lama menangkap ikan berhampiran terumbu itu. Beijing juga menyatakan bahawa terumbu itu sebahagian daripada Kepulauan Spratly yang dituntut oleh berbilang negara.
“Baru-baru ini, berikutan keadaan laut, sesetengah bot nelayan China berlindung daripada angin kencang di Teluk Whitsun,” kata jurucakap kementerian luar, Hua Chunying kepada wartawan.
“Kami percaya perkara ini amat normal dan kami harap semua pihak mempertimbangkannya secara rasional,” tambahnya. – AFP
.