TOKYO – Akibat kebimbangan terhadap pandemik Covid-19, penganjur temasya Sukan Olimpik Tokyo akhirnya memutuskan melarang kehadiran penyokong dari negara luar sepanjang kejohanan itu berlangsung pada Julai depan.
Keputusan itu diumumkan kelmarin selepas persidangan secara maya di antara Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Jawatankuasa Paralimpik, Kerajaan Jepun serta pihak penganjur kejohanan.
Beberapa tinjauan yang dilakukan sebelum ini mendapati 80 peratus rakyat Jepun dikatakan menentang untuk mengadakan Sukan Olimpik dan turut melarang kehadiran pengunjung luar sekiranya temasya Sukan Olimpik diteruskan pada tahun ini.
Akibat Covid-19, kira-kira 8,800 kematian dicatatkan di negara itu tetapi Jepun dilihat berjaya mengawal penularan wabak tersebut.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, penganjur kejohanan Sukan Olimpik Tokyo menegaskan pemegang tiket yang berada di luar dari Jepun tidak dibenarkan untuk masuk ke negara itu untuk menyaksikan temasya tersebut termasuk Sukan Paralimpik.
“Keputusan telah dibuat dan pemegang tiket Sukan Olimpik yang berada di luar Jepun tidak dibenarkan masuk ke Tokyo untuk menyaksikan kejohanan.
“Keputusan awal ini dibuat supaya pemegang tiket yang berada di luar negara boleh membuat perubahan perjalanan mereka lebih awal.
“Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa menghormati serta menerima keputusan ini,” kata penganjur dalam satu kenyataan.
Hampir satu juta tiket dikatakan telah dijual luar negara dan pihak penganjur berjanji akan memulangkan semula pembayaran tiket tersebut dalam tempoh terdekat ini. – AGENSI