PUTRAJAYA – Masih ada rakyat di luar bandar yang masih tidak mengetahui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan kerajaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang akhbar perkembangan PICK hari ini.
Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya akan mempertingkatkan komunikasi bagi mengatasi kelemahan itu termasuk menggerakkan pendaftaran secara bersemuka dari rumah ke rumah khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata, menerusi pendekatan itu, kerajaan yakin pendaftaran vaksinasi Covid-19 akan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Ada yang tunggu ahli keluarga atau jiran tetangga menerima suntikan barulah mereka yakin,” katanya.
Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mendapati, kadar pendaftaran vaksinasi Covid-19 yang rendah berbanding pengguna aplikasi MySejahtera adalah disebabkan orang ramai mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
Beliau berkata, bermula Isnin, talian hotline PICK akan membuat panggilan kepada orang ramai yang mempunyai akaun MySejahtera tetapi belum mendaftarkan diri dalam program vaksinasi tersebut.
“Mereka akan menghubungi orang ramai untuk memberi peringatan serta membantu membuat pendaftaran sekiranya terdapat sebarang kesulitan,” katanya.-K! ONLINE