PETALING JAYA – Seramai 181 individu ditahan Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 93 individu dikenakan kompaun, 80 lagi direman manakala lapan telah dijamin.
“Antara kesalahan direkodkan melibatkan aktiviti pusat hiburan sebanyak 106 kes, tiada penjarakan fizikal (35), gagal menyediakan peralatan serta merekod diri atau pelanggan (24) dan perjudian (8).
“Kesalahan lain ialah tidak memakai pelitup muka (5), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (2) dan premis beroperasi lebih masa (1),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Task Force Operasi Pematuhan telah membuat 66,337 pemeriksaan semalam melibatkan 3,486 Pasukan Pematuhan.
Katanya, 15,223 anggota telah membuat pemantauan di 7,213 buah restoran, pasar raya (4,720), bank (2,729), penjaja (3,979), pasar awam/tani (105), kilang (2,509) dan pejabat kerajaan (779).
“Turut dipantau ialah tempat ibadah (168), tempat riadah (16,985), terminal pengangkutan darat (3,319), terminal pengangkutan air (1,802) dan terminal pengangkutan udara (712),” katanya. – K! ONLINE