LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel enggan mengambil risiko menurunkan pemain pertahanan tengah, Thiago Silva berdepan Sheffield United pada suku akhir Piala FA di Stamford Bridge malam ini.
Bagaimanapun, pengendali berusia 48 tahun dari Jerman itu bersedia menyenaraikan Tammy Abraham yang sudah pulih daripada kecederaan.
“Sekarang bukan masanya untuk memperjudikan nasib Thiago (Silva). Ini adalah aksi terakhir sebelum berehat untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.
“Saya mahu dia benar-benar pulih dan cergas 100 peratus sebelum membuat keputusan untuk menurunkannya beraksi dalam mana-mana perlawanan.
“Tammy (Abraham) sudah kembali dalam sesi latihan. Jadi, saya harap dia boleh diturunkan nanti,” kata Tuchel.
Dalam masa sama, bekas pengendali Paris Saint-Germain itu memberi bayangan akan menyenaraikan penyerang, Olivier Giroud menentang Sheffield malam ini.
Sebagai rekod, Chelsea berpeluang memburu dua kejuaraan musim ini antara Piala FA dan Liga Juara-Juara selepas mendapat undian menentang, Porto pada aksi suku akhir bulan depan. – AGENSI