PETALING JAYA – Pelakon sensasi, Sharifah Sakinah mengakui faktor penguat yang menyebabkan dia mahu berkahwin sekali lagi adalah disebabkan mahu menimang cahaya mata baharu.
Sakinah atau nama penuhnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al- Khaired, 32, memberitahu, dia tidak sabar untuk melalui fasa kehamilan dan berpantang sekali lagi.
“Saya nak ‘baby’ baharu. Tidak sabar mahu melalui fasa hamil dan beranak. Memang nak kahwin lagi sebab mahu tambah anak. Teringin timang anak kedua.
“Tunang saya juga sama, teringin ada anak lagi. Kalau kami dapat tambah seorang anak pun sudah memadai,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui pada sesi fotografi yang berlangsung baru-baru ini.
Sakinah mengikat tali pertunangan dengan seorang lelaki Sweden bernama Michael Hansen dalam sebuah majlis ringkas pada Disember tahun lalu.
Pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 28 Mei depan, namun bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19.
Sakinah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Aliff Adha dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Anais Adha yang kini berusia empat tahun.