MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengingatkan barisan pemainnya agar tidak terlalu teruja dengan peluang cerah untuk memenangi dua gelaran musim ini iaitu Piala FA dan Liga Europa.
Ini kerana United bakal berdepan Leicester City yang ‘tempang’ disebabkan ramai pemain utama mengalami kecederaan untuk aksi suku akhir Piala FA di Stadium King Power awal pagi esok.
“Saya akui memenangi trofi amat penting kerana ia secara tidak langsung meningkatkan semangat dan keyakinan para pemain. Mungkin juga ia boleh menjadi titik permulaan untuk kami terus memenangi pelbagai kejuaraan pada masa depan.
“Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang mudah kerana Leicester juga sebuah pasukan yang hebat dan kurang satu mata dengan kami di tangga ketiga. Mereka juga ada ramai pemain berkualiti.
“Kami boleh mengundang bahaya jika mengambil mudah.
“Jadi, saya harap para pemain bersedia sebaiknya dan memberikan persembahan terbaik untuk perlawanan ini,” kata Solskjaer.
Dalam masa sama, The Red Devils turut mendapat undian mudah menentang wakil Sepanyol, Granada pada suku akhir bulan depan dan kemudiannya menanti antara Ajax atau AS Roma jika layak ke peringkat separuh akhir.
United mengharungi kempen cemerlang musim ini apabila menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) di belakang musuh setempat, Manchester City setakat ini. – AGENSI