PETALING JAYA – Gara-gara keluarganya tidak mampu untuk menyediakan pakaian seragam pengawas, seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tropicana, di sini terpaksa menolak jawatan itu.
Kisah sedih seorang pelajar yang dikenali sebagai Danial itu dikongsi Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam hantaran terbaharu di laman Facebook rasmi mereka sebentar tadi.
Menurut LZS, pihaknya sebelum itu telah menerima laporan daripada guru di sekolah terbabit yang memaklumkan seorang pelajar mereka hidup serba kekurangan dalam sebuah bilik sewa bersama keluarganya.
“Guru berkenaan turut memberitahu bahawa Danial telah dicalonkan oleh pihak sekolah sebagai pengawas sekolah.
“Bagaimanapun, dia menolak tawaran tersebut kerana tahu keluarganya tidak mampu untuk menyediakan pakaian seragam pengawas untuknya,” ujar LZS.
LZS berkata, Danial kini tinggal bersama ibu dan seorang adik yang juga orang kelainan upaya (OKU), manakala bapanya telah meninggal dunia akibat penyakit kanser.
“Zakat Selangor telah mendapatkan rumah sewa untuk keluarga Danial agar mereka dapat hidup lebih selesa.
“Selain itu, bantuan kecemasan, bantuan kewangan bulanan, bantuan sewa bulanan dan bantuan yang bersesuaian turut disalurkan kepada keluarga ini, ” tambah LZS. – K! ONLINE.