PETALING JAYA – Tindakan pemandu sebuah kereta memandu menggunakan laluan motosikal di lebuh raya mengundang kecaman netizen semalam.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Lebuh Raya Grand Saga, berhampiran Tol Batu 11 menghala ke Kuala Lumpur.
Menerusi satu klip video yang dimuat naik di laman Facebook Info Roadblock JPJ/ POLIS kelihatan sebuah kereta jenis Mercedes telah menggunakan laluan motosikal berhampiran plaza tol tersebut.
Klip video berdurasi 23 saat itu turut memaparkan beberapa penunggang motosikal berada di belakang kereta terbabit.
Menurut perakam video itu, pemandu kereta itu didakwa menggunakan laluan motosikal bagi mengelak daripada membayar tol.
Bagaimanapun, setakat video tersebut dirakam tindakan pemandu kereta itu tidak melibatkan sebarang kemalangan kepada penunggang motosikal.
Sehingga pukul 11.30 pagi tadi, klip video terbabit telah ditonton lebih 51,000 kali dan dikongsi hampir 50 pengguna.
Rata-rata netizen mengecam tindakan pemandu kereta itu kerana ia boleh mengudang bahaya kepada penunggang motosikal yang menggunakan laluan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat oleh pengendali lebuh raya terbabit dan pihaknya kini sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.-K! ONLINE.