fbpx

JHEAINS sedia SOP aktiviti Ramadan, tunggu keputusan MKN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Zaidi Ramli (kanan) menyerahkan sijil pentauliahan penyembelihan kepada wakil peserta iaitu Pengerusi Masjid Jamek Datuk Abdullah Sijang, Shafie Mohamad (kiri) selepas merasmikan Kursus Tauliah Penyembelihan Untuk Ahli Kariah Peringkat Daerah Port Dickson di Masjid Kariah Kampung Paya, Port Dickson hari ini.

PORT DICKSON – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kini bersedia malah sudah diperingkat merangka prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti semasa bulan Ramadan di masjid.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, pihaknya kini hanya menunggu keputusan dan pengumuman daripada pihak kerajaan termasuk berkaitan kebenaran program seperti majlis tadarus, moreh dan program bubur lambuk

“Kami sudah bersedia dan dalam peringkat merangka SOP dan kini menunggu pengumuman daripada pihak kerajaan termasuk penetapan solat tarawih untuk berapa rakaat yang dibenarkan dan aktiviti keagamaan lain, sama ada dibenarkan ataupun tidak.

“Bagaimanapun, kami masih mengekalkan SOP sedia ada seperti penjarakan fizkal, pemakaian pelitup muka dan pengambilan suhu. Kami juga bersedia merangka SOP untuk majlis berbuka puasa, program moreh, tadarus dan iktikaf di masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Tauliah Penyembelihan Untuk Ahli Kariah Peringkat Daerah Port Dickson di Masjid Kariah Kampung Paya, dekat sini hari ini.

Sementara itu, menurut Mohd. Zaidi, pihaknya memahami keresahan umat Islam di negeri ini yang mahu menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang tempoh bulan Ramadan.

“Kami ada menerima pelbagai cadangan, ada yang bertanya sama ada boleh diadakan majlis berbuka puasa atau program bubur lambuk. Kami juga ada mencadangkan beberapa SOP kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri. Semoga ada cahaya untuk semua masyarakat Islam pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya menyasarkan seramai 1,500 orang penyembelih awam yang diiktiraf dalam kalangan ahli kariah 300 buah masjid di negeri ini menjelang hujung tahun ini.

“Kursus sebegini adalah usaha pihak jabatan memberikan pengiktirafan kepada mereka yang terlibat, penyembelih ada sijil dan binatang yang disembelih pula ada pengiktirafan halal, ini sekali gus dapat memberi keyakinan kepada masyarakat. Setiap masjid perlu menghantar seramai lima orang wakil untuk mengikuti kursus ini.

“Tiada sebarang isu berkaitan penyembelihan awam namun pihak kami mahu memberi pengiktirafan kepada masyarakat (ahli kariah) yang terbabit sewaktu penyembelihan pada hari raya korban. Kami ingin melatih generasi baharu untuk mengetahui cara yang betul untuk menyembelih,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI