TERMAKTUB sudah, Gila ciptaan Ezra Kong, Noki K-Clique dan Loca B merupakan juara keseluruhan Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35). Karya hip hop tradisional kontemporari dendangan Kaka Azraff, Noki dan Loca B tersebut sebenarnya sudah diramal banyak pinak untuk dinobatkan sebagai juara.
Sehari sebelum AJL35 berlangsung, Pose sempat berborak santai melalui satu panggilan telefon dengan salah seorang daripada 10 juri profesional iaitu Azmeer. Katanya, Gila mempunyai banyak kelebihan dari segi keaslian melodi, lirik dan mesej yang ‘kena’ dengan orang ramai disebabkan pandemik Covid-19.
Berbicara dengan ketua juri AJL35, Datuk Mokhzani Ismail baru-baru ini, beliau sangat berpuas hati dengan kualiti, komitmen dan pencapaian yang ditonjolkan kesemua lagu yang bertanding.
Selain Gila, Semalam dan Belenggu Rindu, Mokhzani turut mendedahkan dua lagu lain yang tersenarai di kedudukan lima teratas untuk merebut takhta acara berprestij tersebut.
Diajukan soalan tentang kecaman dan kritikan ramai yang dilemparkan terhadap salah seorang peserta iaitu Nabila Razali, Mokhzani berkata, penyanyi itu masih banyak ruang yang boleh diperbaiki di atas pentas, namun tidak menafikan lagu Peluang Kedua Hael Husaini dan MFMF merupakan sebuah kombinasi yang bagus.
POSE: Bagaimana dan apa yang anda boleh rangkumkan tentang kualiti, prestasi dan pencapaian AJL35 edisi kali ini?
DATUK MOKHZANI ISMAIL: Sebagai ketua juri, saya sangat berpuas hati dengan apa yang ditonjolkan pada edisi kali ini. Barangkali ada terselit beberapa kelompongan dari segi teknikal seperti sistem bunyi, pentas dan mungkin prestasi para peserta sendiri. Akan tetapi secara keseluruhannya, dengan kekangan pandemik, AJL35 telah dijayakan dengan sebaik mungkin.
Saya sangat gembira kerana edisi kali ini melibatkan pembaharuan dan kepelbagaian, sekali gus membuktikan kita berada di atas landasan yang betul. Ada hip hop, balada dan pop rock. Rasa seperti ‘zaman dulu’ sewaktu pertandingan ini dibahagikan kepada beberapa kategori. Kami sebagai juri pun sebenarnya pening untuk memilih Juara Lagu tetapi setiap pertandingan perlu ada pemenang. Ternyata rezeki berpihak kepada Gila yang saya sifatkan sebagai satu karya yang sangat asli terutama dari aspek gubahan melodi.
Kalau anda dedahkan, selain tiga lagu yang menduduki tangga satu hingga tiga, apa lagu lain yang mengisi kedudukan lima teratas?
Mungkin kedengaran klise datang dari bibir juri tetapi saya berani cakap kesemua lagu yang bertanding hebat-hebat belaka. Selain mempunyai melodi kuat dan asli, Gila memberi suntikan pembaharuan yang seharusnya dijadikan teladan buat mereka yang mempunyai hasrat bertanding di pentas AJL. Menjawab soalan anda, dua lagu lain yang mengisi kedudukan Top 5 adalah Jangan Khianati Aku dan Gundah.
Penyertaan karya edisi kali ini, kalau kita lihat bersifat kepelbagaian dari segi genre, ada yang mengusulkan pendapat agar diadili semula pertandingan mengikut kategori, bagaimana anda menyambut idea atau saranan tersebut?
Benar, sudah lama kita tidak tengok AJL diserikan dengan kepelbagaian genre. Tahun ini paling ‘diversed’ dari sudut itu. Saya sokong kalau ingin dikembalikan format pertandingan seperti dahulu. Kalau mahu perkara tersebut berlaku, para komposer perlu giatkan usaha untuk melahirkan karya-karya yang tidak tertumpu pada satu genre sahaja.
Saya sejujurnya gembira melihat penyanyi hip hop memartabatkan semula irama tradisional dalam karya-karya mereka. Ini satu budaya sihat yang perlu terus dijunjung dan dipergiat. Kalau dibiarkan sahaja berakhir sampai AJL35, itu satu perkara yang menyedihkan kerana seperti yang dikatakan tadi, kita berada di atas landasan terbaik untuk mengulangi era ‘supreme’ sewaktu industri muzik kita bersifat pelbagai dan versatil.
Sedikit tentang jurang markah antara juara dan naib juara, ada perkara yang boleh anda dedahkan?
Saya tidak boleh dedahkan secara terperinci tetapi markah antara lagu Gila dan Semalam perbezaannya agak dekat. Juga seperti yang dikatakan tadi, lagu Gila mempunyai kelebihan kerana melodinya sangat berlainan daripada 11 lagu lain yang bertanding. Saya optimis kalau lagu tersebut dipasarkan di peringkat antarabangsa, boleh pergi lebih jauh.
Ada yang berpendapat AJL musim akan datang perlu ketatkan ‘undang-undang’ atau pemilihan penyanyi yang bertanding berikutan insiden penyanyi tidak menepati piawaian, apa komen anda?
Sejujurnya, saya cukup tidak berkenan penyanyi berganti ‘baton’ dalam pertandingan. Misalnya, peringkat separuh akhir, orang lain nyanyi, ‘tup tup’ pada peringkat final, penyanyi lain pula menghadirkan persembahan. Mungkin kedengaran kejam kerana orang berpendapat AJL adalah pertandingan untuk lagu tetapi bagi saya, kalau penyanyi tidak boleh memberikan komitmen, gugurkan sahaja dan pilih lagu lain yang sedang ‘menunggu di pintu masuk’ yang boleh memberikan komitmen.
AJL adalah pentas berprestij yang boleh diibaratkan sebagai Grammy versi Malaysia. Kita tidak mahu apa yang berlaku kepada Nabila Razali berulang lagi pada penganjuran edisi akan datang. Lagu Peluang Kedua merupakan karya yang bagus dan antara yang paling popular tahun lalu tetapi sayangnya dikecewakan ketika persembahan pentas akhir. Kita sudah beri peluang kepada Nabila. Saya berharap dia dan penyanyi-penyanyi lain akan berusaha lebih keras selepas ini kalau diberi peluang untuk bertanding. Hal ini kerana, bukan orang Malaysia sahaja tonton, negara-negara luar pun turut mengikuti acara ini. Kita tidak mahu orang fikir Malaysia bikin acara muzik semberono. Saya berharap mereka yang bertanding khususnya tidak berputus asa dan terus memperbaiki diri pada masa akan datang.